Hai semua, harini saya nak kongsikan sedikit pengalaman saya semasa berada di tingkatan enam. Saya memang tidak membuat permohonan untuk ke matrikulasi, UPU atau IPG selepas tamatnya SPM kerana masih belum bersedia untuk hidup jauh dari keluarga. Saya sememangnya seorang yang tidak pernah tinggal berjauhan dari keluarga walaupun saya bersekolah di sekolah berasrama. Oleh itu, saya sudah memilih tingkatan enam sebagai pilihan utama saya untuk melanjutkan pelajaran kerana sekolah berkenaan berhampiran dengan kawasan perumahan saya.
Pada asalnya saya menerima tawaran untuk ke tingkatan enam di bawah aliran sains tulen namun minat saya yang mendalam dalam bidang ekonomi, dengan persetujuan ibu dan keluarga saya, saya menolak tawaran berkenaan dan memohon untuk mengambil aliran sastera dan kemanusiaan di SMK Bandar Tenggara. Setelah berjaya menjadi pelajar aliran sastera dan kemanusiaan, saya telah memilih kelas yang menawarkan subjek ekonomi. Di tingkatan enam saya mengambil empat subjek wajib iaitu bahasa melayu, ekonomi, pengajian am, dan geografi. Maka, bermulalah perjuangan saya selama setahun setengah sebelum memasuki universiti.
Masa berlalu begitu pantas dan terlalu banyak pengalaman dan pengajaran yang saya peroleh di tingkatan enam. Guru-guru saya yang sangat berdedikasi, prihatin, penyayang dan sangat memahami murid-muridnya membuatkan saya dan rakan-rakan berasa sangat sebak untuk meninggalkan alam persekolahan itu. Guru-guru saya juga bukanlah orang biasa-biasa, mereka terdiri daripada penanda jawapan peperiksaan STPM membuatkan saya dan rakan memperoleh pelbagai manfaat dan tips untuk menjawab soalan.
Akhir sekali, walaupun kami sebagai pelajar tingkatan enam sering dianggap kelas bawahan dan tidak dipandang tinggi oleh pelajar lain berbanding pelajar matrikulasi dan sebagainya. Saya sangat berbangga menjadi bekas pelajar tingkatan enam kerana kami dididik untuk menjadi seorang insan yang berguna untuk masa depan dan untuk orang lain. Tingkatan enam bukanlah pilihan terakhir tetapi pilihan pertama kerana terdapat seramai 15 orang rakan saya yang merupakan pelajar tingkatan enam SMK Bandar Tenggara telah berjaya memasuki UKM bersama-sama saya pada bulan Ogos yang lalu.
Comments
Post a Comment